I made this widget at MyFlashFetish.com.

Friday, July 15, 2011

LAWATAN TIMBALAN PENGARAH PELAJARAN PERAK

SKTM Jumaat 14.07.2011
Tuan Timbalan Pelajaran Perak, Tn.Hj.Mohd Idris b. Hj.Ramli telah mengadakan lawatan mengejut ke SK Teluk Medan bagi meninjau perancangan dan perlaksanaan program-program kecemerlangan sekolah khususnya program kecemerlangan akademik. Beliau tiba di SKTM kira-kira jam 11.45 pagi. Setelah mendengar taklimat tentang program kecemerlangan kurikulum sekolah daripada Ustaz Mohamad Shah b. Ramli, guru besar SK Teluk Medan, beliau mengadakan perjumpaan dengan guru-guru bagi memperjelaskan kembali visi dan misi pendidikan bagi mencapai hasrat " Perak Sentiasa di Puncak Kecemerlangan ". Beliau juga berharap agar 'tindakan pantas segera' dapat dilaksanakan oleh seluruh warga SKTM bagi menghadapi UPSR tidak lama lagi. Menurut beliau lagi, guru berperanan sebagai perlaksana dasar KPM di samping menjadi harapan kepada ratusan pelanggan iaitu ibu-bapa murid SK Teluk Medan. Analisis keputusan Peperiksaan Percubaan UPSR mesti dilakukan segera bagi mengenalpasti kelemahan murid seterusnya membuat penambahbaikan bagi mencapai 'out come' yang berganda. Akhirnya beliau berharap agar seluruh warga pendidik dapat bekerjasama demi meningkatkan kecemerlangan akademik, sahsiah dan kokurikulum murid SKTM di samping menjadikan tugas mendidik sebagai satu amanah dan ibadah. Turut sama hadir pada sesi lawatan tersebut ialah En.Ahmad Fisal b. Shafeei, Penolong PPD Hal Ehwal Murid PPD Kerian. Seluruh warga SK Teluk Medan mengucapkan terima kasih kepada Tuan Timbalan Pelajaran Perak, Tn.Hj.Mohd Idris b. Hj.Ramli.

Tuesday, July 12, 2011

BUDAYA ICT TERUS BERKEMBANG


SKTM Rabu 13 Julai 2011.
Seperti direncana, Sistem Rekod Kehadiran Guru dan Kakitangan menggunakan komputer mula digunakan dalam sistem pentadbiran sekolah hari ini. Guru-guru dan kakitangan dilihat tidak kekok menggunakan sistem ini kerana taklimat berhubung penggunaannya telah pun disampaikan. Melalui sistem ini, guru-guru dan kakitangan hanya perlu menulis nombor kad pengenalan sahaja ketika datang dan waktu pulang manakala maklumat lain seperti nama, tarikh dan masa akan dirakamkan secara automatik oleh sistem komputer. Namun begitu, pihak pentadbiran sekolah memberi tempoh percubaan yang agak selesa bagi mengkaji kesesuaian sistem di samping membuat penambahbaikan sebelum ianya diwarta sebagai peraturan rasmi sekolah. Sistem Rekod Kehadiran Guru dan Kakitangan Berkomputer ini diperkenal dan dibangunkan oleh En.Mohamad Shah b. Ramli, guru besar SK Teluk Medan dalam rangka membudayakan ICT dalam kalangan warga SKTM.

HARI TERAKHIR


SKTM Selasa 12.07.2011
Hari ini merupakan hari terakhir penggunaan Rekod Kehadiran Guru dan Kakitangan secara manual iaitu melalui cacatan di dalam Buku Rekod KehadiranGuru dan Kakitangan. Mulai esok, sistem rekod kehadiran guru-guru dan kakitangan akan menggunakan komputer. Melalui sistem baru ini, guru-guru dan kakitangan hanya perlu menaip nombor kad pengenalan sahaja manakala nama dan waktu kehadiran dan pulang akan dirakam secara automatik oleh sisitem komputer. Sistem Rekod Kehadiran Guru dan Kakitangan Berkomputer yang dijangka akan bermula esok itu diperkenal dan dibangunkan oleh En.Mohamad Shah b. Ramli, Guru Besar SK Teluk Medan bagi membudayakan penggunaan ICT dalam kalangan warga SKTM.

Monday, July 4, 2011

UCAPAN RASMI PERTAMA

SKTM Isnin 04.07.2011
En.Mohamad Shah b. Ramli, guru besar SK Teluk Medan yang baharu menyampaikan ucapan rasmi yang pertama pada perhimpunan mingguan hari ini. Dalam ucapan sulungnya, beliau berharap agar seluruh warga SKTM memberikan komitmen yang tinggi demi kegemilangan yang berterusan dalam semua aspek kurikulum, kokurikulum dan sahsiah. Beliau juga menyampaikan hadiah-hadiah bagi pertandingan mewarna sempena Larian Serentak 1 Murid 1 Sukan yang telah berlangsung Sabtu lalu. Pada sebelah petangnya, beliau mengadakan majlis taaruf dengan warga kerja SKTM sebelum mempengerusikan mesyuarat Panitia Bahasa Melayu kali ke-3 bagi tahun 2011.

Friday, July 1, 2011

BENGKEL SSQS

SKTM Jumaat 01.07.2010
Bengkel SSQS ( Smart School Qualification Standards ) bagi 30 responden yang dipilih dari kalangan murid-murid dijalankan pada jam 10.45 - 11.00 pagi. Bengkel tersebut dijalankan sebagai memberi panduan kepada murid untuk borang pemantauan budaya ICT sekolah. Bengkel turut akan dijalankan kepada guru-guru yang dipilih sebagai responden dalam pemantauan tersebut.

HARI PERTAMA DI SKTM

SKTM Jumaat 01.07.2011
1 Julai 2011 pasti mencatat sejarah dalam diari perkhidmatan En.Mohamad Shah b. Ramli. Meskipun telah melaporkan diri di PPD Kerian pada 16.06.2011 yang lalu, tetapi beliau mula bertugas secara rasmi sebagai Guru Besar SK Teluk Medan mulai hari ini. En.Mohamad Shah b. Ramli mendapat pendidikan awal menengah di Sekolah Menengah Agama Izzuddin Shah, Ipoh dan kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Kolej Islam Kelang sebelum mengikuti kursus perguruan dalam bidang Pendidikan Islam di Maktab Perguruan Islam, Lembah Pantai Kuala Lumpur. Sebelum bertugas sebagai guru besar di SKTM, En.Mohamad Shah b. Ramli bertugas di Jabatan Pelajaran Perak. Namun begitu, beliau pernah berada di beberapa buah sekolah sebagai guru Pendidikan Islam. Pengetahuan dan pengalaman beliau yang luas dalam bidang pendidikan dan pengurusan sumber manusia diharapkan akan menjana kelangsungan kegemilangan warga SK Teluk Medan. Seluruh warga SK Teluk Medan mengucapkan selamat datang dan selamat bertugas kepada En.Mohamad Shah b. Ramli, Guru Besar SKTM yang baharu.