I made this widget at MyFlashFetish.com.

Thursday, July 28, 2011

AHLAN WA SAHLAN YA RAMADHAN

Align CenterSELURUH WARGA SK TELUK MEDAN MENGUCAPKAN SELAMAT BERPUASA KEPADA SELURUH UMAT ISLAM DI MANA SAHAJA BERADA. SEMOGA PENGHAYATAN RAMADHAN AKAN MENJANA KETAQWAAN

Monday, July 25, 2011

DUNIA MUZIK TAHUN 1

Kurikulum Pendidikan Muzik sekolah rendah bermatlamat untuk membina potensi diri murid ke arah melahirkan insan kreatif yang menghayati dan menikmati muzik secara intelektual melalui aktiviti muzik. Selaras dengan hasrat KPM tersebut, En.Rosli b. Musa yang mempunyai Ijazah Sarjana Muda Pengajaran Muzik melakukan berbagai aktiviti semasa proses pembelajaran bagi merealisasikan hasrat tersebut. Cikgu Rosli Musa merupakan seorang guru muzik yang berpotensi di samping mempunyai kemahiran bermain beberapa alat muzik. Semoga ketrampilan beliau dapat menjana kegemilangan SK Teluk Medan dalam pelbagai bidang.

HARI KEMERDEKAAN NEGARA KE-54

SKTM Selasa 26.07.2011.
Sambutan hari kemerdekaan negara biasanya disambut pada 31 Ogos setiap tahun. Namun bagi sambutan Hari Kebangsaan ke-54 tahun 2011 ini, sambutannya ditunda pada 16 September serentak dengan Hari Malaysia disebabkan 31 Ogos 2011 jatuh pada penghujung Ramadhan. Apapun, mulai hari ini Jalur Gemilang mulai berkibar di setiap penjuru SK Teluk Medan bagi menzahirkan kecintaan warga SK Teluk terhadap negara Malaysia. 1Malaysia: Transformasi Berjaya, Rakyat Sejahtera.

Tuesday, July 19, 2011

PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH


SKTM Selasa 19.07.2011.
Mulai semalam, guru-guru tahun 1 diberi pendedahan dan berbengkel berkaitan pengisian data Pentaksiran Berasaskan Sekolah KSSR. Taklimat disampaikan oleh Pn.Hazira bt. Sam, Setiausaha PBS SK Teluk Medan. Bengkel pengisian data secara atas talian pula dijalankan pada hari ini oleh Ustazah Cik Nur Syazana bt.M.Kamaruddin bagi memberi pendedahan kepada guru-guru tahun 1 berkaitan pengisian data Pentaksiran Berasaskan Sekolah KSSR.

Saturday, July 16, 2011

Kementerian Cadang Kajian Menyeluruh Sistem Pendidikan Kebangsaan

SURABAYA 16 Julai — Kementerian Pelajaran sedang menyiapkan laporan mengenai cadangan bagi kajian menyeluruh terhadap sistem pendidikan kebangsaan dalam usaha meningkatkan lagi kualiti pendidikan negara, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin. Timbalan Perdana Menteri berkata cadangan itu bukanlah kajian semula terhadap Penyata Razak. "Saya telah mendapat banyak pandangan, malah dalam media ada dilaporkan tentang keperluan supaya kita melihat semula keseluruhan sistem pendidikan kebangsaan kita hari ini. "Sama ada ia telah mencapai matlamat dalam usaha untuk mendidik anak-anak bangsa, sama ada perakuan yang dikemukakan dalam Penyata Razak itu dilaksanakan dah tercapai sepenuhnya. "Ada pandangan yang menyatakan kualiti pendidikan di negara kita tak setanding dengan negara-negara maju yang lain,” kata Muhyiddin, juga Menteri Pelajaran. Pada masa ini satu pasukan diketuai oleh Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Abd Ghafar Mahmud ditugaskan untuk menyediakan laporan awal mengenai cadangan itu, yang dijangka dapat dikemukakan kepada jemaah menteri untuk pertimbangan dan kelulusan pada penghujung tahun ini.

- BERNAMA-

Nisfu Syaaban

Sempena bulan Syaaban dan malam Nisfu Syaaban, saya nukilkan beberapa hadis dari kitab Sahih Al-Bukhari dan kitab Al-Mutajir Ar-Raabih fi thawab Al-Amal As-Soleh karangan Al-Hafiz Ad-Dimyaty. “Nisfu” bermakna separuh atau 14hb. Kitab Sahih Al-Bukhari dan Sahih Muslim adalah rujukan paling utama dalam Islam selepas Al-Quran. Abdullah b Yusuf menyampaikan kepada kami, dari Malik, dari Abi An-Nadr, dari Abi Salamah, dari Aisyah ra. dia berkata (bermaksud), “Adalah Rasulullah saw berpuasa sehingga kami mengatakan dia tidak berbuka. Dia saw berbuka sehingga kami mengatakan dia tidak berpuasa. Aku tidak pernah melihat Nabi saw berpuasa penuh satu bulan melainkan (dalam bulan) Ramadan. Aku tidak pernah melihat dia saw berpuasa lebih banyak selain dari bulan Syaaban” (Hadis Sahih No. 1969 riwayat Imam Al-Bukhari). Muaz bin Fadhalah menyampaikan kepada kami, dari Hisyam bin Yahya, dari Abi Salamah, bahawa Aisyah ra meriwayatkan kepadanya dengan berkata, “Nabi saw tidak pernah berpuasa dalam satu bulan lebih banyak dari bulan Syaaban. [Nabi saw berpuasa bulan Syaaban semuanya - lafaz Al-Bukhari]. Nabi saw bersabda, “Beramallah dengan mengikut kemampuan kamu, kerana sesungguhnya Allah tidak akan jemu sehingga kamu yang jemu (dulu – pent)”. Aisyah ra menyambung, “Solat yang paling disukai Nabi saw ialah solat yang dikerjakan berterusan walaupun sedikit. Adalah Nabi saw apabila solat, dia mengerjakannya secara konsisten” (Hadis Sahih No. 1970 riwayat Imam Al-Bukhari). Abu Mikmar menyampaikan kepada kami dari Abdul Warith, dari Abu At-Tayyah, dari Abu Uthman, dari Abu Hurairah ra. berkata (bahawa) kekasihku (Nabi saw) telah mewasiatkan kepadaku 3 perkara (iaitu) puasa 3 hari setiap bulan (13, 14 dan 15hb), 2 rakaat Dhuha dan Solat Witir sebelum aku tidur”. (Hadis Sahih No. 60 riwayat Imam Al-Bukhari). Dari At-Tarmizi dengan sanad-sanadnya dari Anas ra. dia berkata, “Nabi saw ditanya apakah bulan selepas Ramadan yang terafdhal berpuasa”. Nabi saw menjawab bermaksud, “Bulan Syaaban kerana untuk mengagungkan Ramadan”. Nabi saw ditanya lagi, “Sedekah apakah yang terafdhal?”. Nabi saw menjawab, “Sedekah dibulan Ramadan”. Kata At-Tarmizi, hadis ini hadis Hasan Sahih. Dari Al-Baihaqy dengan sanad-sanadnya dari Aisyah ra. bahawa Nabi saw bersabda bermaksud, “Jibril telah mendatangi aku dan berkata: Malam ini adalah malam Nisfu Syaaban. Pada malam itu Allah membebaskan hamba-hamba dari siksaan Api Neraka seramai bilangan kambing Bani Kalb (merentasi satu tempat) selama sebulan. pada malam itu Allah tidak menoleh kepada orang yang melakukan syirik, pengadu domba (kaki batu api), pemutus silaturrahim, penderhaka kepada kedua ibu bapa dan orang yang ketagih arak”. Kesimpulannya marilah kita sama-sama mengambil kesempatan atas kelebihan bulan Syaaban sebagai persediaan untuk menghadapi Ramadhan al-Mubarakh.

Friday, July 15, 2011

LAWATAN TIMBALAN PENGARAH PELAJARAN PERAK

SKTM Jumaat 14.07.2011
Tuan Timbalan Pelajaran Perak, Tn.Hj.Mohd Idris b. Hj.Ramli telah mengadakan lawatan mengejut ke SK Teluk Medan bagi meninjau perancangan dan perlaksanaan program-program kecemerlangan sekolah khususnya program kecemerlangan akademik. Beliau tiba di SKTM kira-kira jam 11.45 pagi. Setelah mendengar taklimat tentang program kecemerlangan kurikulum sekolah daripada Ustaz Mohamad Shah b. Ramli, guru besar SK Teluk Medan, beliau mengadakan perjumpaan dengan guru-guru bagi memperjelaskan kembali visi dan misi pendidikan bagi mencapai hasrat " Perak Sentiasa di Puncak Kecemerlangan ". Beliau juga berharap agar 'tindakan pantas segera' dapat dilaksanakan oleh seluruh warga SKTM bagi menghadapi UPSR tidak lama lagi. Menurut beliau lagi, guru berperanan sebagai perlaksana dasar KPM di samping menjadi harapan kepada ratusan pelanggan iaitu ibu-bapa murid SK Teluk Medan. Analisis keputusan Peperiksaan Percubaan UPSR mesti dilakukan segera bagi mengenalpasti kelemahan murid seterusnya membuat penambahbaikan bagi mencapai 'out come' yang berganda. Akhirnya beliau berharap agar seluruh warga pendidik dapat bekerjasama demi meningkatkan kecemerlangan akademik, sahsiah dan kokurikulum murid SKTM di samping menjadikan tugas mendidik sebagai satu amanah dan ibadah. Turut sama hadir pada sesi lawatan tersebut ialah En.Ahmad Fisal b. Shafeei, Penolong PPD Hal Ehwal Murid PPD Kerian. Seluruh warga SK Teluk Medan mengucapkan terima kasih kepada Tuan Timbalan Pelajaran Perak, Tn.Hj.Mohd Idris b. Hj.Ramli.

Tuesday, July 12, 2011

BUDAYA ICT TERUS BERKEMBANG


SKTM Rabu 13 Julai 2011.
Seperti direncana, Sistem Rekod Kehadiran Guru dan Kakitangan menggunakan komputer mula digunakan dalam sistem pentadbiran sekolah hari ini. Guru-guru dan kakitangan dilihat tidak kekok menggunakan sistem ini kerana taklimat berhubung penggunaannya telah pun disampaikan. Melalui sistem ini, guru-guru dan kakitangan hanya perlu menulis nombor kad pengenalan sahaja ketika datang dan waktu pulang manakala maklumat lain seperti nama, tarikh dan masa akan dirakamkan secara automatik oleh sistem komputer. Namun begitu, pihak pentadbiran sekolah memberi tempoh percubaan yang agak selesa bagi mengkaji kesesuaian sistem di samping membuat penambahbaikan sebelum ianya diwarta sebagai peraturan rasmi sekolah. Sistem Rekod Kehadiran Guru dan Kakitangan Berkomputer ini diperkenal dan dibangunkan oleh En.Mohamad Shah b. Ramli, guru besar SK Teluk Medan dalam rangka membudayakan ICT dalam kalangan warga SKTM.

HARI TERAKHIR


SKTM Selasa 12.07.2011
Hari ini merupakan hari terakhir penggunaan Rekod Kehadiran Guru dan Kakitangan secara manual iaitu melalui cacatan di dalam Buku Rekod KehadiranGuru dan Kakitangan. Mulai esok, sistem rekod kehadiran guru-guru dan kakitangan akan menggunakan komputer. Melalui sistem baru ini, guru-guru dan kakitangan hanya perlu menaip nombor kad pengenalan sahaja manakala nama dan waktu kehadiran dan pulang akan dirakam secara automatik oleh sisitem komputer. Sistem Rekod Kehadiran Guru dan Kakitangan Berkomputer yang dijangka akan bermula esok itu diperkenal dan dibangunkan oleh En.Mohamad Shah b. Ramli, Guru Besar SK Teluk Medan bagi membudayakan penggunaan ICT dalam kalangan warga SKTM.

Monday, July 4, 2011

UCAPAN RASMI PERTAMA

SKTM Isnin 04.07.2011
En.Mohamad Shah b. Ramli, guru besar SK Teluk Medan yang baharu menyampaikan ucapan rasmi yang pertama pada perhimpunan mingguan hari ini. Dalam ucapan sulungnya, beliau berharap agar seluruh warga SKTM memberikan komitmen yang tinggi demi kegemilangan yang berterusan dalam semua aspek kurikulum, kokurikulum dan sahsiah. Beliau juga menyampaikan hadiah-hadiah bagi pertandingan mewarna sempena Larian Serentak 1 Murid 1 Sukan yang telah berlangsung Sabtu lalu. Pada sebelah petangnya, beliau mengadakan majlis taaruf dengan warga kerja SKTM sebelum mempengerusikan mesyuarat Panitia Bahasa Melayu kali ke-3 bagi tahun 2011.

Friday, July 1, 2011

BENGKEL SSQS

SKTM Jumaat 01.07.2010
Bengkel SSQS ( Smart School Qualification Standards ) bagi 30 responden yang dipilih dari kalangan murid-murid dijalankan pada jam 10.45 - 11.00 pagi. Bengkel tersebut dijalankan sebagai memberi panduan kepada murid untuk borang pemantauan budaya ICT sekolah. Bengkel turut akan dijalankan kepada guru-guru yang dipilih sebagai responden dalam pemantauan tersebut.

HARI PERTAMA DI SKTM

SKTM Jumaat 01.07.2011
1 Julai 2011 pasti mencatat sejarah dalam diari perkhidmatan En.Mohamad Shah b. Ramli. Meskipun telah melaporkan diri di PPD Kerian pada 16.06.2011 yang lalu, tetapi beliau mula bertugas secara rasmi sebagai Guru Besar SK Teluk Medan mulai hari ini. En.Mohamad Shah b. Ramli mendapat pendidikan awal menengah di Sekolah Menengah Agama Izzuddin Shah, Ipoh dan kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Kolej Islam Kelang sebelum mengikuti kursus perguruan dalam bidang Pendidikan Islam di Maktab Perguruan Islam, Lembah Pantai Kuala Lumpur. Sebelum bertugas sebagai guru besar di SKTM, En.Mohamad Shah b. Ramli bertugas di Jabatan Pelajaran Perak. Namun begitu, beliau pernah berada di beberapa buah sekolah sebagai guru Pendidikan Islam. Pengetahuan dan pengalaman beliau yang luas dalam bidang pendidikan dan pengurusan sumber manusia diharapkan akan menjana kelangsungan kegemilangan warga SK Teluk Medan. Seluruh warga SK Teluk Medan mengucapkan selamat datang dan selamat bertugas kepada En.Mohamad Shah b. Ramli, Guru Besar SKTM yang baharu.